SEJARAH PPD

Written By Pejabat Pelajaran Bangsar Pudu on Monday, January 17, 2011 | 5:03 PM



Pada asalnya, semua urusan pentadbiran pendidikan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama ini dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Namun demikian, Pada 1 Jun 2007, Pejabat Pelajaran Daerah telah ditubuhkan. Pejabat Pelajaran Daerah yang baru ditubuhkan ini bertanggungjawab terhadap pengurusan 100 buah sekolah rendah dan 50 buah sekolah menengah di zon Bangsar dan zon Pudu. Seorang Pegawai Pelajaran Daerah dan empat orang Penolong Pegawai Pelajaran Daerah serta seorang Pegawai Eksekutif (EO) telah menerima surat pelantikan berkuat kuasa pada 1 Jun 2007.

Pada awal penubuhannya, PPDKL beroperasi di Pusat Kecemerlangan Sukan Cochrane dari 1 Jun hingga 29 Ogos 2007 sebelum berpindah ke bangunan asrama lama SMK Victoria di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Lumpur berpindah ke premis sendiri di alamat No. 143, Jalan Hang Jebat, 50150 Kuala Lumpur pada 2 Januari 2008. Bangunan PPDKL yang ada sekarang merupakan bekas premis Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia.

PPDKL terdiri daripada empat sektor iaitu Sektor Pengurusan Akademik, Sektor Pengurusan Sekolah, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, dan Sektor Pengurusan Pembangunan dan Bekalan, serta dua unit iaitu Unit Khidmat Pengurusan dan Unit Kewangan. Jumlah pegawai dan kakitangan PPDKL adalah seramai 37 orang.

Melalui surat Kementerian Pelajaran Malaysia, KP(PP)0051/20 Jld. 5/ (78) bertarikh 27 Jun 2007 bertajuk, “Pelaksanaan Penubuhan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Baru”, yang ditandatangani oleh Hj. Kamaruzaman bin Yaacob daripada Bahagian Sumber Manusia kementerian, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meminta supaya penubuhan PPDKL dimaklumkan kepada pihak luar. Maka pada 9 Mei 2008, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Lumpur (Bangsar-Pudu) telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Hj. Awang.